Wednesday, August 22, 2012

LAWATAN SAMBIL BELAJAR PANITIA PENDIDIKAN MORAL SMK JATI - PULAU PINANG.


       Panitia Pendidikan Moral SMK Jati telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke negeri Pulau Pinang pada 30 April 2012 bersamaan dengan hari Isnin pada hari persekolahan. Kami yang mengikuti lawatan ini telah diminta berkumpul di Dewan Serbaguna SMK Jati pada pukul 5.45 pagi. Seterusnya, kami diberi taklimat serta penerangan mengenai perjalanan kami ke Pulau Pinang. Kami juga dibekalkan dengan sekeping fail yang dilengkapi dengan sebuah buku nota, pen dan jadual perjalanan ke Pulau Pinang. Kami memulakan perjalanan ke Pulau Pinang tepat pada pukul 6.15 pagi. Pada pukul 8.15 pagi, kami berhenti di Seberang Perai untuk minum pagi. Setelah meluangkan masa lebih kurang setengah jam, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. Kami melalui jambatan Pulau Pinang untuk sampai ke destinasi pertama kami iaitu Universiti Sains Malaysia.

       Kami tiba di Universiti Sains Malaysia pada pukul 9.30 pagi. Sebelum memasuki Perpustakaan Hamzah Sendut I, kami diminta diam supaya tidak menganggu para penuntut menelaah pelajaran. Di perpustakaan, kami memasuki sebuah bilik kuliah yang kecil yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut. Kami diberi pendedahan mengenai sistem-sistem yang digunakan dalam peminjaman buku-buku di perpustakan tersebut. Kemudian, kami dibawa untuk melawat sekitar kawasan Perpustakaan Hamzah Sendut I. Kami juga melawat bilik muzik di mana para penuntut merehatkan minda dengan muzik sudahpun dibekalkan oleh pihak universiti. Universiti ini juga membekalkan kemudahan internet yang boleh diakses secara percuma. Seterusnya, kami melawat Muzium Galeri Tuanku Fauziah pada pukul 11.45 pagi. Setelah melawat muzium tersebut, kami bertolak ke Jabatan Perikanan Malaysia untuk melawat pusat akuarium.

      Pada pukul 12.30 tengah hari, kami tiba di Jabatan Perikanan Malaysia untuk melawat pusat akuarium. Kami dapat melihat pelbagai jenis ikan yang menarik rupanya. Kami juga berpeluang untuk  memberi makanan kepada ikan-ikan koi di dalam kolam di luar pusat akuarium. Kami juga sempat bergambar untuk dijadikan kenangan. Kami kemudian bertolak dari Jabatan Perikanan Malaysia pada pukul 12.55 tengah hari untuk makan tengah hari.

     Kami dibawa ke Restoran Nasi Kandar Dinas dan Restoran Nasi Kandar Makbul untuk makan tengah hari. Guru-guru melarang kami untuk  makan tengah hari di restoran lain kerana bimbang akan keselamatan kami. Kami bertolak lambat dari restoran tersebut kerana terdapat beberapa orang pelajar yang tidak mematuhi masa yang telah diperuntukkan oleh guru-guru.

   Destinasi kami yang seterusnya ialah Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang. Para pelajar berkesempatan untuk menukar baju seragam sekolah mereka kepada baju T-shirt sekolah. Kami tidak dibenarkan untuk melawat tempat pelepasan kerana kerja-kerja penambahbaikan lapangan terbang sedang dijalankan. Kemudian, kami bertolak ke tempat yang amat dinanti-nantikan oleh semua pelajar.

       Pada pukul 3.00 petang, kami tiba di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Setelah guru kami berurusan dengan pihak tertentu untuk mendapatkan tiket kereta api, kami berpeluang untuk menaiki kereta api Bukit Bendera. Kami menaiki dua gerabak kereta api semasa menaiki bukit tersebut. Di atas Bukit Bendera, kami dapat melihat pemandangan di sekitar Pulau Pinang. Kami dapat melihat pelbagai bentuk bangunan yang terdapat di Pulau Pinang yang berbeza rupanya. Gerai-gerai di sana juga banyak dan mereka menjual pelbagai barangan yang boleh dibawa pulang sebagai cenderahati yang boleh dibuat kenangan. Kami juga sempat bergambar untuk dijadikan kenangan. Seterusnya kami berpeluang untuk sembahyang di kuil yang terdapat di puncak Bukit Bendera. Setelah kami bersembahyang di sana, kami berjalan pula ke arah gereja yang terletak di sebelah atas. Malangnya, kami tidak dapat menziarahi gereja tersebut kerana ianya ditutup. Setelah lama bersiar-siar di puncak Bukit Bendera, kami berkumpul semula untuk menaiki kereta api. Kali ini, kami menaiki tiga gerabak untuk menuruni Bukit Bendera supaya kami dan pengunjung yang berkunjung ke sana merasa selesa sepanjang perjalanan dalam kereta api tersebut.

 Kami bertolak dari Bukit Bendera pada pukul 5.45 petang. Kami menaiki feri Pulau Pinang dan bas yang kami naiki pula melalui jambatan untuk sampai di Butterworth. Setelah tiba di Butterworth, kami menaiki bas yang sedia menunggu kami di sana untuk makan malam. Kami tiba di Mc Donalds untuk makan malam pada pukul 8.00 malam. Selepas makan malam, kami bertolak untuk pulang ke Ipoh pada pukul 8.45 malam. Lebih kurang pada pukul 11.00 malam, kami akhirnya tiba di SMK Jati dan pulang ke rumah masing-masing.

     Walaupun lawatan ini hanya untuk sehari, kami telah berseronok sepanjang hari kami di Pulau Pinang. Keletihan yang kami alami sungguh kecil jika dibandingkan dengan masa yang telah kami luangkan bersama rakan-rakan dan guru kami di sana. Kami berharap lawatan sebegini dapat diadakan di masa-masa akan datang bukan sahaja untuk menambah pengetahuan, tetapi juga untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara guru dan pelajar.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh,
*      Harisha a/p Sannasi (5 Science)
*      Theviksha a/p Sannasi (3 Amanah)





  
  





No comments: